Cinta Yang Tidak Mengecewakan-

Seseorang Yang Sempurna

Bait demi bait ayat dalam naskhah ‘Pemilik Cintaku Setelah Allah Dan Rasul’ karya Ustazah Fatimah Syarha saya hadam. Minggu ini saja, sudah 5 kali saya membacanya. Rasa tidak puas baca sekali. Kadang kurang faham, saya ulang dari mula walau sudah sampai di pertengahan. Nyata, setiap jalan ceritanya, menusuk ke lubuk hati yang paling dalam. Terasa betapa banyak masa yang telah saya bazirkan selama ini.
Betapa banyak masa saya guna untuk menanti, untuk menunggu, untuk mengharap dan mengejar bayang-bayang. Akhirnya, saya jualah yang bermakan hati, dan menjadi mangsa cinta manusia yang tiada berkesudahan. Saya tahu, cinta manusia itu sementara, saya tahu cinta Allah maha hebat dari segalanya. Saya tahu. Tapi saya rebah dalam angan-angan yang saya cipta sendiri.
Usia 24 tahun, sudah dikira usia matang bagi seorang wanita. Apatah lagi, saya kini telah selesai menamatkan ijazah pertama dan sedang menyudahkan Latihan Dalam Kamar di sebuah firma guaman. Lantas bersendiri tanpa ‘teman’ di usia sebegini menjadi buah mulut dan modal cerita orang. Sekali lagi, andaian dan kata orang yang kita risaukan. Begitu rata-rata kita lebih runsing dengan kata orang lebih berganda dari apa yang Allah kata.
Benar ia lumrah. Selagi bernyawa dan duduk di bumi, maka itu adalah lumrah. Saya pernah terdengar satu ayat sinis, ‘kalau nak bergurau pun tak boleh, pegi buat rumah dalam hutan. Kawan dengan monyet.’ Lalu sudah berapa ramai manusia yang masuk hutan, bina rumah di sana dan berkawan dengan monyet? Seingat saya, kecuali dongeng ‘Tarzan dan Jane’, tiada manusia dari bandar yang sukarela ke dalam hutan, tinggal di sana dan berkawan dengan haiwan. Maka, lumrah akan kekal lumrah.
Saya terhanyut dek arus dari segi pemikiran saya. Saya mula bertanya diri, apakah yang telah angan-angan berikan dalam hidup saya. Hanyalah kegagalan. Cintalah punca angan-angan. Saya mula dilanda keliru dengan dunia cinta walaupun ianya cuma berlegar di sudut hati, bukan secara zahir. Dan saya juga tidak pernah menterjemahkannya. Lantas hati menjadi raja, memberi arahan kepada seluruh anggota badan.
Nyata, cinta Allah jualah yang tidak pernah mengecewakan. CintaNya sentiasa membawa kebahagiaan kepada hati, perasaan dan kehidupan. Baru saya sedar bahawa dalam hidup ini saya ada Allah untuk lebih dicintai. Allah sentiasa menanti dengan penuh cinta terhadap hambaNya, Cuma saya yang lalai dan tidak menghargai segala nikmat yang sekian lama ada di depan mata. Dan yakinlah bahawa pintu taubatNya sentiasa terbuka luas untuk dikunjungi.
Saya mula bertekad untuk kembali meraih cinta agung itu. Saya cuba bersihkan hati dengan mengamalkan banyak amalan sunat dan zikir. Tika itu, sukar juga untuk istiqamah terutamanya tahajjud. Namun saya sedar dan yakin bahawa ada rahsia Allah di sebalik amalan-amalan itu, maka saya paksa juga diri agar ia sebati menjadi sebahagian daripada kehidupan saya, darah daging saya. Saya cemburu dengan kawan-kawan yang dipermudahkan urusan jodoh mereka, berbahagia dan tidak diuji dengan lelaki.
Saya terfikir bahawa alangkah indahnya kalau cinta Allah ini tidak pernah dicemari oleh cinta dusta manusia. Airmata mengalir dengan laju apabila mengenangkan kesilapan saya bertahun-tahun menjadi lalai kerana cinta manusia. Saya genggam azam baru. Saya ketepikan lelaki daripada fikiran saya. Hati saya yakin bahawa cinta allah mampu membawa kebahagian yang hakiki. Bukan sekadar kerjaya, tapi cinta Allah mampu membawa kebahagian hakiki. Dialah sumber inspirasi dan pemberi motivasi yang maha mengetahui.
Saya yakin bahawa tarbiah inilah yang mampu menyemarakkan lagi cinta saya padaNya. Siang malam saya berdoa agar Allah menganugerahkan rasa cinta dan rindu kepadaNya dalam jiwa saya yang kosong ini. Saya ingin jatuh cinta pada Allah.
Saya ingin merasakan indahnya menemui cinta kerana Allah. Saya dapat rasakan hebatnya ketenangan jiwa yang lebih bermakna. Saya ingin terus memburu cintaNya. Hanya apabila tersemai semangat mencari cinta Allah dalam jiwa, barulah saya kenal nikmat cinta sebenarnya. Sesungguhnya, cinta Allah itu tidak boleh dikongsi dengan sesiapa. 
-Sis Munirah- 

♥Thanks For Reading My Entry!Do Like And Share!♥

1 65 comment:

Unknown said...

itulah yg terbaik...cinta kepadaNYa